29.9.2024 - Pada 29 September 2024, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Hulu Terengganu dengan kerjasama Bahagian Kurikulum, POLYCC juga Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan National Symposium in Tourism and Hospitality Industry 2024 di Dewan Batu Bersurat, Muzium Negeri Terengganu. Program ini telah dirasmikan pembukaannya oleh Pengarah Politeknik Hulu Terengganu, Haji Azahan Haji Daud. Simposium ini bertemakan "Melestarikan Community Based Tourism Dalam Kalangan Penggiat Industri Pelancongan dan Hospitaliti," yang bertujuan untuk memperkukuhkan pemahaman mengenai community based tourism (CBT), serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingannya dalam membangunkan industri pelancongan yang lestari. Objektif utama program ini termasuk:-
 
1. Menyediakan platform untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam kalangan penggiat industri.
2. Menggalakkan kolaborasi dan jaringan profesional antara politeknik, industri pelancongan, dan komuniti.
3. Meningkatkan peluang ekonomi dan pembangunan industri pelancongan tempatan.
 
Program ini telah menghimpunkan pelbagai tokoh industri terkemuka, termasuk penceramah utama dan panel forum yang telah mengupas pelbagai isu dan cabaran dalam industri ini. Acara utama simposium ini adalah Keynote Speaker dan NaSTHI Forum. Associate Professor Dr. Johan Afendi Bin Ibrahim, daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjadi Keynote Speaker bersama Datuk (Dr) Redzuawan Bin Ismail. Selain itu, NasTHI forum juga menampilkan tiga ahli panel yang berpengalaman luas dalam industri pelancongan dan hospitaliti iaitu Pn. Mazshida Binti Rusli, Pengarah dari MOTAC, Datuk (Dr) Redzuawan Bin Ismail, Profesor Adjung UUM, Mr. Alex Lee Yun Ping, Pengarah Urusan Ping Anchorage Travel & Tours Sdn Bhd, juga telah berkongsi pengalaman industri beliau, terutama pelancongan dan peranannya dalam memperkasakan komuniti tempatan. Simposium ini turut menampilkan 9 daripada 12 pembentangan penyelidikan yang melibatkan penyertaan daripada warga akademik POLYCC, termasuk tiga pembentang antarabangsa. Selain itu, 27 penyertaan product pitching turut diadakan di Galeri Seni dan telah membuka peluang kepada peserta untuk memperkenalkan produk dan inovasi baharu dalam industri pelancongan dan hospitaliti. Dengan penyertaan daripada pelbagai institusi ini termasuk POLYCC lain juga IPTA dan penggiat industri, simposium ini telah dapat membuka peluang yang baharu dan memperkukuhkan daya saing sektor pelancongan negara. Acara penutupan simposium telah disempurnakan dengan ucapan oleh YBrs. Dr. Noriah Binti Abdul Malek @ Malek, Pengarah Bahagian, Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti. Ucapan beliau telah menekankan kepentingan inovasi dan penyelidikan dalam memperkasa industri pelancongan dan hospitaliti negara.