MAJLIS TANDATANGAN DAN PENYERAHAN NOTA KERJASAMA LETTER OF INTENT (LOI) & NOC
- Details
- Webmaster
- Hits: 63
6.11.2024 - Politeknik Hulu Terengganu (PHT) telah menganjurkan Majlis Tandatangan dan Penyerahan Nota Kerjasama atau Letter of Intent (LOI) serta Nota Kolaborasi (NOC) yang berlangsung di Dewan Batu Bersurat, PHT.Majlis ini menyaksikan penyerahan kerjasama strategik antara PHT dan 30 organisasi industri yang komited untuk menyokong bidang akademik dan latihan industri pelajar. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah PHT, Haji Azahan bin Haji Daud, diikuti dengan ucapan perasmian oleh YBrs. Dr. Asnizah binti Sahekhaini, Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti. Dr. Asnizah menyatakan penghargaan terhadap kerjasama ini yang diharapkan dapat memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak, di mana pelajar PHT akan memperoleh peluang praktikal dan pengalaman industri yang relevan. Majlis ini melibatkan kerjasama dengan industri dari pelbagai bidang mengikut program diploma di PHT. Bagi Program Diploma Pelancongan Rekreasi (DRT), kerjasama dijalinkan bersama syarikat-syarikat seperti Radiant, MCCA, Jenoba, PJRM, Persatuan Keno, Maqra, dan Tenaga. Bagi Program Diploma Pengurusan Resort (DHR), industri yang terlibat termasuk D'Ammar Jaya Holidays, Koperasi Kecantikan dan Spa Terengganu, Royale Chulan Cherating Villa, Perhentian Marriott, Pulse Grande, Primula Beach Hotel, dan Raja Laut. Sementara itu, Program Diploma Pengurusan Pelancongan (DUP) turut menerima sokongan daripada Persatuan Pemandu Pelancong Alaf Baru, Paya Bunga Hotel, dan Homestay Teluk Ketapang. Bagi program perakaunan dan bidang lain-lain, PHT bekerjasama dengan Madrasah Darul Ansar, Perpustakaan Awam Cawangan Hulu Terengganu, MBM Multi Enterprise, SMY, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Auto Count, dan Agensi Fathie. Kerjasama yang terjalin melalui LOI dan NOC ini adalah hasil inisiatif Unit CISEC (Corporate Industry Services and Employability Centre) PHT, bertujuan untuk membuka peluang latihan industri yang lebih luas dan mendalam untuk para pelajar. Melalui sokongan daripada industri, pelajar-pelajar PHT akan didedahkan kepada suasana kerja sebenar, kemahiran khusus industri, dan membina jaringan profesional yang akan meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian. Diharapkan kerjasama ini dapat memperkukuh hubungan antara PHT dan pihak industri, serta memacu kejayaan dalam bidang akademik dan keperluan industri.