8.2.2026 | Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar PHT Sesi 2026/2027
 
 
Dengan penuh istiadat dan rasa tanggungjawab, Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar PHT Sesi 2026/2027 telah berlangsung sebagai simbol amanah dan kepercayaan yang diberikan kepada barisan kepimpinan pelajar. Detik bermakna ini bukan sekadar penyerahan watikah, tetapi permulaan sebuah perjuangan untuk memimpin, berkhidmat dan menyuarakan aspirasi seluruh warga pelajar PHT.
 
Majlis berlangsung di Dewan Auditorium Pintar dengan kehadiran YBrs Encik Ishamuddin Ishak, Pengarah dan barisan Ahli Mesyuarat Pengurusan PHT.
 
Pelantikan ini menuntut komitmen tinggi, integriti yang utuh serta semangat kebersamaan dalam menjunjung nilai kepimpinan beretika dan berwibawa. Setiap watikah yang diterima membawa tanggungjawab besar untuk menjadi jambatan antara pelajar dan pentadbiran, di samping menjadi contoh teladan dalam sahsiah, akademik dan aktivisme kampus.
 
Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar PHT Sesi 2026/2027. Semoga amanah yang digalas dilaksanakan dengan penuh dedikasi, keikhlasan dan iltizam demi kecemerlangan PHT serta pembentukan generasi pemimpin masa hadapan yang berprinsip dan berdaya saing.