22.10.2025 | Program Ekspedisi Kayak MADANI PolyCC Zon Terengganu 2025
 
 
Program tersebut dianjurkan oleh Politeknik Hulu Terengganu (PHT) membuka tirai dengan semangat jitu dan perpaduan tinggi dalam kalangan warga PolyCC. Program ini menghimpunkan peserta dari seluruh zon Terengganu bagi mengukuhkan nilai kekitaan, semangat kerja berpasukan serta kecergasan fizikal dan mental melalui aktiviti lasak berasaskan air. Antara institusi yang menyertai ialah Politeknik Kuala Terengganu - Laman Rasmi, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Terengganu, dan Kolej Komuniti Kemaman.
 
Pelepasan rasmi telah disempurnakan oleh Pengarah PHT, Encik Ishamuddin Ishak. Turut sama menyertai ialah Pengarah PSMZA, Puan Hajah Zamra Derahman dan Pengarah KK Kemaman, Encik Sufian Salim. Ekspedisi Kayak MADANI kali ini dapat menghimpunkan seramai 250 orang dalam kalangan staf dan pelajar.
 
Ekspedisi ini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi manifestasi kepada nilai MADANI iaitu mampan, sejahtera dan harmoni. Para peserta bukan sahaja menakluk cabaran arus dan gelombang, tetapi turut menghayati keindahan alam sekitar serta kepentingan menjaga kelestarian sungai dan persekitaran sebagai amanah bersama.
 
Aktiviti kayak MADANI ini bermula di Pengkalan Kuala Jenagor dan berkahir di Water Front, Kuala Berang sejauh lebih kurang 15 km. Turut mengiringi peserta kayak ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan BOMBA & Penyelamat.
Tahniah kepada semua peserta dan urus setia yang menjayakan program ini. Tahniah juga kepada pihak penganjur iaitu PHT melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Jawatankuasa Pelaksana Program. Semoga Ekspedisi Kayak MADANI 2025 menjadi simbol kekuatan semangat warga PolyCC Zon Terengganu dalam melahirkan generasi TVET yang berdaya tahan, berwawasan serta berjiwa MADANI.
 
#ukkpht