24.6.2026 | MAJLIS PENUTUP MINGGU TRANSFORMASI SISWA (MTS) SESI I 2026/2027

Tirai Minggu Transformasi Siswa (MTS) Politeknik Hulu Terengganu (PHT) Sesi I 2026/2027 akhirnya melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang menerusi Majlis Penutup MTS yang berlangsung dalam suasana meriah, penuh semangat dan sarat dengan kenangan bermakna buat para pelajar baharu.
 
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Encik Khairul Mohd Azemi, Timbalan Pengarah PHT, mewakili Tuan Pengarah PHT. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ustaz Wan Mohd Sabri Wan Mahmood, Ketua Jabatan Pengajian Am merangkap Pengarah MTS serta Puan Norimah Annuar @ Mohd Tahir, Timbalan Pengarah Akademik PHT. Kehadiran barisan pengurusan ini menjadi simbol sokongan dan komitmen institusi dalam membentuk mahasiswa yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
 
Sepanjang empat hari pelaksanaan MTS, para pelajar baharu telah didedahkan dengan pelbagai taklimat, aktiviti pembangunan sahsiah dan pengenalan kepada kehidupan kampus yang bakal menjadi medan mereka menimba ilmu serta mengasah potensi diri.
 
Semoga segala pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang MTS menjadi bekalan berharga dalam melakar kejayaan sebagai warga Politeknik Hulu Terengganu. Selamat menempuh alam pengajian dan teruskan melangkah dengan penuh keyakinan menuju kecemerlangan.