10 JUN 2026 | TVET COLLABORATION GATEWAY 2026: INDUSTRI DAN PHT PERKUKUH LIBAT URUS MAPAN
- Details
- Webmaster
- Hits: 23
10.6.2026 | TVET COLLABORATION GATEWAY 2026: INDUSTRI DAN PHT PERKUKUH LIBAT URUS MAPAN
Penglibatan Politeknik Hulu Terengganu bersama rakan kolaborasi menjadi tumpuan utama dalam Program TVET Collaboration Gateway 2026 yang berlangsung di Permai Hotel, Kuala Terengganu, hari ini. Secara keseluruhan, program anjuran bersama Politeknik Kuala Terengganu (PKT) dan Politeknik Hulu Terengganu (PHT) ini telah menghimpunkan lebih 40 wakil rakan kolaborasi strategik yang terdiri daripada gabungan industri bagi kedua-dua institusi, pertubuhan profesional, agensi kerajaan, dan institusi pendidikan.
Di samping sesi perbincangan meja bulat, program ini turut menyaksikan Center of Technology (COT) daripada PKT dan PHT mengadakan pameran khas bagi memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada pihak industri mengenai fokus kepakaran dan teknologi yang ditawarkan oleh kedua-dua institusi.
Pihak industri menyambut baik pelaksanaan ekosistem TVET Collaboration Hub (TCH) ini yang dilihat mampu merapatkan jurang antara keperluan tenaga kerja industri dengan penawaran institusi pendidikan. Bagi PHT, pameran dan sesi libat urus yang dijalankan memberi fokus strategik kepada pemantapan Tourism and Recreation Centre (TRC) selaku COT PHT bagi mengukuhkan peranan struktur Hub, Spoke, Enabler, dan Benefactor.
Melalui platform ini, perkongsian interaktif telah digerakkan bersama industri mengenai kefahaman ekosistem TCH serta keperluan masa depan pelajar, terutamanya bagi memperkukuh program Diploma Pengurusan Resort, Diploma Pengurusan Pelancongan, dan Diploma Pelancongan Rekreasi.
Khusus bagi sesi libat urus PHT, ia memfokuskan komitmen aktif daripada 32 wakil rakan kolaborasi strategik institusi tersebut antaranya merangkumi Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Jenoba Outdoor, Persatuan Penyelamat Akuatik Negeri Terengganu (MAQRA), Persatuan Jurulatih Rekreasi Malaysia (PJRM), Persatuan Keno Negeri Terengganu, Raia Hotel, serta institusi pendidikan seperti UMT, UiTM, Kolej KETENGAH, dan Kolej Vokasional Besut.
Semasa sesi libat urus berkenaan berlangsung, Tuan Haji Mohd Zuhaimi turut terlibat secara langsung bersama Encik Khairul Mohd Azemi, Timbalan Pengarah serta rakan Ahli Jawatankuasa (AJK) COT yang lain dalam memberikan pandangan, penjelasan, serta jawapan balas yang tuntas kepada pihak industri mengenai hala tuju TCH PHT.
Program TVET Collaboration Gateway 2026 ini telah disempurnakan majlis perasmiannya oleh Tuan Haji Mohd Zuhaimi bin Zolkifli, Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti (BKIK), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang turut menyampaikan sesi penerangan komprehensif mengenai pelaksanaan TCH. Turut hadir ialah Ts. Dr. Mohd Syahrizad bin Elias, Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi (BPPI), JPPKK.
Pihak jawatankuasa Tourism and Recreation Centre selaku COT PHT mengharapkan agar melalui penerangan terperinci serta pameran yang dibawakan ini, pihak industri mendapat gambaran jelas dan pemahaman utuh mengenai model kolaborasi TCH, sekaligus membuka ruang kepada jalinan perkongsian kepakaran, pembangunan bakat, dan latihan industri yang lebih mampan.

