27.7.2025 | Selamat Datang Warga Baharu PHT
Hari ini, Politeknik Hulu Terengganu membuka pintunya untuk menerima kehadiran Pelajar-pelajar Baharu Sesi I 2025/2026.
Suasana penuh semangat dan harapan terpancar di wajah ibu bapa dan para pelajar yang hadir dari segenap pelusuk tanah air. Proses pendaftaran berjalan lancar dengan kerjasama mantap barisan urus setia dan sukarelawan pelajar senior yang turut membantu melancarkan perjalanan hari yang bermakna ini.
PHT menerima seramai 210 orang pelajar baharu untuk empat program akademik iaitu 38 orang untuk Diploma Pengurusan Pelancongan, 66 orang untuk Diploma Pelancongan Rekreasi, 63 orang untuk Diploma Pengurusan Resort dan 43 orang untuk Diploma Perakaunan. Sementara itu, taklimat bersama ibu bapa disampaikan oleh Dr. Abu Bakar Zakaria, Timbalan Pengarah Akademik.
Selamat melangkah ke dunia pendidikan tinggi yang sarat dengan ilmu dan pengalaman. Hari ini merupakan permulaan kepada satu perjalanan yang bakal mencorak masa depan anda. Semoga setiap langkah di PHT menjadi kenangan terindah dan pemangkin kejayaan. Bersama kita jayakan.