16.7.2025 | Majlis Budi Dituai Jasa Dikenang - Majlis Persaraan Pengarah PHT, Tuan Haji Azahan Hj Daud
Majlis penuh penghargaan dan emosi, Majlis Budi Dituai Jasa Dikenang, telah berlangsung di Dewan Makan VIP dalam keadaan sederhana namun meriah bagi meraikan persaraan Pengarah PHT, Tuan Haji Azahan Haji Daud, yang telah menabur bakti dan kepimpinan cemerlang sepanjang perkhidmatannya.
Sepanjang perkhidmatan beliau, Tuan Haji Azahan dikenali sebagai seorang pemimpin berwibawa, berintegriti tinggi serta sentiasa menekankan nilai kekeluargaan dan profesionalisme dalam pentadbiran. Majlis ini turut diserikan dengan tayangan montaj kenangan serta penyampaian cenderamata sebagai tanda kasih dan penghargaan. Turut sama hadir ialah isteri beliau, Puan Fatimah Muhamad Nawi dan beberapa orang mantan staf yang pernah berkhidmat di bawah pimpinan beliau.
Warga PHT mengucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan beliau dalam mencorak kecemerlangan organisasi. Semoga Tuan Haji Azahan terus dikurniakan kesihatan, keberkatan dan kebahagiaan dalam menjalani fasa kehidupan baharu pasca persaraan.
Selamat Bersara dan Terima Kasih Tuan Haji.