26.6.2025 | AUDIT SURVEILLANCE 1 By SIRIM QAS
Audit Surveillance 1 oleh pihak SIRIM QAS International Sdn. Bhd. telah berjaya dilaksanakan pada 24–25 Jun 2025 di Politeknik Hulu Terengganu melalui Unit Jaminan Kualiti. Pasukan juruaudit dari SIRIM QAS seramai dua orang telah diketuai oleh Encik Hadie Aizzat Asli bersama Puan Nur Hana Roshida Hairudin. Pembukaan Mesyuarat Audit dan Penutupan Mesyuarat Audit ini telah dirasmikan oleh Pengarah PHT, Tuan Haji Azahan Haji Daud.
Audit ini merupakan sebahagian daripada keperluan berterusan untuk mengekalkan pensijilan sistem pengurusan kualiti MS ISO 9001:2015 yang telah diperoleh oleh politeknik ini. Audit yang dijalankan bertujuan untuk menilai pematuhan organisasi terhadap standard sistem pengurusan kualiti, memastikan keberkesanan pelaksanaan sistem yang telah dibangunkan serta mengenal pasti sebarang peluang penambahbaikan.
Dalam audit tersebut, para auditor daripada SIRIM QAS telah meneliti pelbagai aspek termasuk dokumentasi, proses kerja, kawalan operasi, dan pelaksanaan tindakan pembetulan di semua unit seperti UJK, ULPL, Unit Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan, UPS, Khidmat Pengurusan dan lain-lain. Sepanjang tempoh audit, tiada ketidakpatuhan utama (major non-conformance) telah ditemui, menandakan bahawa sistem pengurusan kualiti organisasi terus berfungsi dengan baik dan memenuhi kehendak standard yang ditetapkan dan tiga OFI telah diberikan untuk peluang penambahbaikan.
Pihak pengurusan turut merakamkan penghargaan kepada semua warga kerja yang telah memberikan kerjasama penuh sepanjang audit berlangsung. Langkah-langkah penambahbaikan yang disarankan oleh pihak auditor juga akan diteliti dan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan berterusan. Dengan kejayaan Audit Surveillance 1 ini, PHT berada di landasan yang kukuh untuk mengekalkan pensijilan serta meningkatkan lagi mutu sistem dan perkhidmatan yang lebih berkualiti.