8.1.2026 | Program CSR PHT: Sayangi Pantai Kita
Program CSR PHT Sayangi Pantai Kita anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Politeknik Hulu Terengganu (PHT) telah berlangsung dengan penuh semangat di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus. Program ini melibatkan penyertaan pelajar-pelajar baharu PHT yang berganding bahu membersihkan kawasan pantai sebagai usaha memupuk kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar sejak di awal pengajian.
Kehadiran YBrs. En. Ishamuddin Ishak, Pengarah PHT yang turut turun padang bergotong-royong bersama para pelajar mencerminkan sokongan dan komitmen pihak pengurusan terhadap pembudayaan nilai tanggungjawab sosial dan kelestarian alam. Interaksi secara langsung antara pihak pengurusan dan pelajar turut mengeratkan hubungan serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan warga PHT.
Turut sama ialah Timbalan Pengarah PHT, Encik Khairul Mohd Azemi dan pensyarah-pensyarah serta staf-staf sokongan yang secara sukarela menyertai program khidmat masyarakat sebegini.
Program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada kebersihan pantai, malah menjadi platform pembentukan sahsiah pelajar yang prihatin, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap komuniti serta alam sekitar. Diharapkan inisiatif sebegini dapat diteruskan dan menjadi amalan berterusan dalam melahirkan graduan TVET yang seimbang dari segi akademik dan nilai kemanusiaan.