4.11.2026 | BENGKEL PENJAJARAN PELAN TINDAKAN PHT 2027
 
Politeknik Hulu Terengganu (PHT) telah menganjurkan Bengkel Penjajaran Pelan Tindakan Politeknik Hulu Terengganu 2027 yang berlangsung pada 4 hingga 5 November 2026 bertempat di Hotel Paya Bunga, Kuala Terengganu. Bengkel ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Ishamuddin Ishak, Pengarah PHT dan disertai oleh semua Ahli Mesyuarat Pengurusan (AMP) PHT sebagai platform strategik untuk meneliti, menyelaras serta memantapkan hala tuju dan perancangan organisasi bagi tahun 2027.
 
Dalam amanatnya, Tuan Haji Ishamuddin Ishak menekankan bahawa kejayaan sesebuah organisasi bukan sekadar bergantung kepada perancangan yang tersusun, tetapi turut menuntut komitmen, kesepakatan dan kesungguhan seluruh warga kerja dalam menterjemahkan setiap perancangan kepada tindakan yang berimpak. Beliau turut mengingatkan agar setiap warga pengurusan sentiasa berfikiran strategik, berani melakukan perubahan serta mengutamakan budaya kerja berprestasi tinggi demi memastikan kecemerlangan institusi terus diperkasakan.
 
“Perancangan yang hebat tidak akan membawa makna tanpa pelaksanaan yang berkesan. Kesepakatan dalam menetapkan hala tuju, ketegasan dalam tindakan dan kesungguhan dalam melaksanakan amanah merupakan kunci utama untuk membawa PHT melangkah lebih jauh.”
 
Bengkel ini diharapkan dapat menghasilkan penjajaran pelan tindakan yang lebih jelas, realistik dan berfokuskan pencapaian, selaras dengan aspirasi PHT untuk terus memperkukuh kecemerlangan pengurusan pendidikan dan memperkasa penyampaian perkhidmatan. Bersama-sama kita membina momentum baharu ke arah merealisasikan aspirasi PHT Leads the Future.