27.10.2026 | MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN PHT
Majlis Perhimpunan Bulanan Politeknik Hulu Terengganu (PHT) bagi bulan Oktober 2026 telah berlangsung pada 27 Oktober 2026 bertempat di Mini Auditorium Pintar PHT. Majlis telah disempurnakan oleh Tuan Haji Ishamuddin Haji Ishak, Pengarah Politeknik Hulu Terengganu, yang menyampaikan perutusan serta amanat kepada seluruh warga kerja PHT sebagai panduan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan, memperkukuh profesionalisme dan memacu kecemerlangan institusi.
Dalam perutusan beliau, Tuan Pengarah turut menekankan kepentingan integriti sebagai asas pembentukan warga kerja yang beramanah, berdisiplin dan bertanggungjawab. Beliau menyeru seluruh warga PHT agar sentiasa melaksanakan tugas dengan penuh keikhlasan, mematuhi peraturan, mengamalkan ketelusan dalam setiap tindakan serta menjadikan nilai integriti sebagai pegangan utama dalam menjalankan tanggungjawab. Beliau turut mengingatkan bahawa kecemerlangan sesebuah organisasi bukan sekadar diukur melalui pencapaian KPI, malah turut bergantung pada kejujuran, etika kerja dan komitmen setiap individu dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Akademia, penyampaian hadiah kepada para pemenang Program Fit Your Body serta pemenang Program Fotografi.
Pengiktirafan ini merupakan tanda penghargaan terhadap pencapaian, usaha dan kreativiti warga PHT dalam menyumbang kepada pembangunan akademik, pembudayaan gaya hidup sihat serta penghasilan karya kreatif. Semoga majlis ini menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga PHT untuk terus melakar kejayaan, memperkukuh budaya kerja berintegriti dan bersama-sama merealisasikan aspirasi PHT Leads the Future.