25.4.2026 | STURIEX Sesi II:2025/2026
 
Unit Penyelidikan, Inovasi dan Komersial (UPIK) dengan kerjasama Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH), Politeknik Hulu Terengganu telah berjaya menganjurkan Program Student Research, Innovation & Exhibition (STURIEX) bagi Sesi II:2025/2026 pada 22 April 2026 di Dewan Batu Bersurat.
 
Program ini merupakan platform akademik yang strategik bagi pelajar Semester 5 dari program Diploma Pengurusan Pelancongan (DUP), Diploma Pelancongan Rekreasi (DRT), dan Diploma Pengurusan Resort (DHR) untuk membentangkan hasil penyelidikan serta produk projek akhir mereka. Selain bertujuan mengetengahkan inovasi yang telah dibangunkan, STURIEX juga berperanan penting dalam membina keyakinan diri, mengasah daya pemikiran kreatif, serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan pelajar sebelum melangkah ke alam industri.
 
Sesi penilaian bagi pertandingan 3 Minutes Presentation telah dikendalikan oleh panel penilai jemputan yang berpengalaman iaitu Dr. Hj Abu Bakar Zakaria dan Pn. Rodina Iryuni Shamsudin. Pihak institusi merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pemenang bagi Kategori Kajian Terbaik yang dirangkul oleh kumpulan daripada program DUP5 dengan tajuk kajian "Analisis Jurang Kualiti Perkhidmatan dan Tahap Kepuasan Pengunjung: Kajian Kes CBT Kalang Rengas". Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan program DHR5 melalui kajian "Tahap Kesedaran Amalan Hijau Dalam Kalangan Pelajar Pelancongan dan Hospitaliti PHT", manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan program DRT5 dengan tajuk "Tingkah Laku Pendakian Bertanggungjawab di Bukit Besar, Kuala Terengganu".
 
Kecemerlangan individu turut diiktiraf melalui penganugerahan Pembentang Terbaik yang dimenangi oleh saudari Nurin Adibah Taqia bt Zawawi dari program DUP5 atas persembahan yang cukup meyakinkan. Syabas diucapkan kepada semua pemenang dan para pelajar yang terlibat atas komitmen tinggi yang diberikan.
 
Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga Politeknik Hulu Terengganu untuk terus membudayakan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan inovasi demi memartabatkan pendidikan teknikal di peringkat yang lebih tinggi.